Khamis, 16 Oktober 2008

Firman Allah Taala: “ Mengadu Rasul; Wahai Tuhan, sesungguhnya kaumku menjadikan al-Quran ini sebagai suatu yang ditinggalkan”

Filed under: Uncategorized — kostaq-ytb @ 4:40 am

Saya tertarik untuk menyentuh mengenai
Kalamullah yang mulia yang dibincangkan dalam siri-siri majlis Tafaqquh Fiddin
bersama dengan Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki Hafizohullah.
Antara kitab-kitab yang dibentangkan kepada kami adalah kitab ‘an-nasoih
ad-diniah wa al-wasoya al-iimaniah’
. Kalau dahulunya di Malaysia saya
pernah belajar kitab ini dari ayah saya tetapi menggunakan kitab yang telah
diterjemah ke dalam Bahasa Melayu dengan tajuknya nasihat agama dan wasiat
iman. Pengajian kami sekarang telah melewati bab ‘mabhasu tilawatil Quran
waz Zikri’.
Baru malam tadi (malam Jumaaat, 28 Syaa’ban 1429H) perbincangan
yang berkaitan dengan zikir dan al-Quran ini ditamatkan oleh Syeikh. Selepas
ini, tajuk baru pula akan dibincangkan.

Selain dari kitab yang disebutkan,
antara kitab lain yang dipelajari dalam majlis ini adalah ‘Tahzibu Misykatil
Masobiih’
. Pagi kelmarin Syeikh menutup perbincangan dalam Bab ‘al-I’tikaf’
sebelum pengajian akan disambung semula dengan Bab ‘Fadhailul Quran’ hari
ini. Tajuk berkaitan al-Quran yang dibincangkan dalam dua kitab ini terasa amat
penting untuk disentuh. Perkara-perkara yang tersangat penting berkaitan dengan
Kalamullah yang mulia. Sesiapa yang bersamanya, akan turut sama mengecapi
kemuliaan yang ada padanya. Sekurang-kurangnya perbincangan seumpama ini mampu
dijadikan satu muhasabah penting untuk saya dan rakan-rakan lain menilai
setakat mana kami meninggikan kedudukan al-Quran dalam kehidupan.

Hasil dari siri-siri pengajian yang
diikuti, jelaslah bahawa tugas dan tanggungjawab yang perlu dipikul sebagai penghafal
Quran tidaklah semudah yang disangkakan. Di sebalik kemuliaan al-Quran yang ada
pada kami, terdapat satu amanah yang perlu dilaksanakan. Ianya mengingatkan
saya kepada khutbah Jumaat yang disampaikan oleh asy-Syeikh Usamah as-Sayyid
al-Azhari mengenai ‘asy-hurul hurum’. Antara petikan khutbahnya; “Setiap
kali Allah Taala melebihkan sesuatu kurniaannya kepada seseorang dengan
kemuliaan dan kebajikan, Allah akan meluaskan baginya daerah hisabnya. Tidak
ada sesuatu taklif yang dipikul melainkan di sebaliknya ada kemuliaan yang akan
dikurniakan Allah dan tidak akan dikurniakan kemuliaan melainkan di sebaliknya
ada taklif yang perlu di pikul”.

Namun, tugas yang perlu dipikul tidak
sepatutnya menjadi penyebab untuk kita semua terutama rakan-rakan yang
menghafal al-Quran untuk ‘berpaling tadah’ dari KalamNya. Sebaliknya, jadilah
hambaNya yang sentiasa bersyukur atas nikmat kurniaan dariNya dan sabar dengan
ujian yang dibentangkan untuk kita. Keimanan masih belum terbukti sekadar
dengan lidah yang tidak bertulang. Ujian pasti akan datang. Allah Taala
berfirman; “ Adakah manusia menyangka bahawa kami akan meninggalkan
mereka begitu sahaja dengan mengucapkan keimanan sebelum mereka diuji?”
.
Tidakkah kita semua bercita-cita untuk megecapi dua kemanisan; kemanisan dunia
dan kejayaan di Hari Akhirat?

Beberapa orang kawan-kawan dari sekolah
lama pernah mengadu kepada saya mengenai al-Quran yang dihafal. Mereka bimbang
tidak mampu untuk istiqamah dengannya. Soalan dari saya; “ Adakah kita semua
telah berusaha sedaya upaya untuk menjaga hafalan kita, atau kita hanya
bersikap sambil lewa?”. Saya bimbang dengan diri sendiri begitu juga dengan
rakan-rakan sekiranya kita melihat bahawa al-Quran seolah-olah tiada nilainya. Di
manakah kita ketika melihat dan menilai ketinggian al-Quran al-Karim berbanding
perkara yang lain? Bimbang juga sekiranya segala jenis macam perkara-perkara
yang tidak bermanfaat seumpama lagu-lagu yang melalaikan menyekat kita untuk
menjadi manusia yang sentiasa membasahi bibir dengan Kalam yang paling mulia.

Pengajian yang berlangsung mengajar
pentingnya menjaga adab-adab apabila bersama dengan al-Quran. Al-Quran bukan
buku-buku rujukan yang kita gunakan di sekolah, bukannya majalah-majalah yang
menayangkan aksi-aksi tidak senonoh para artis jalanan , bukan juga suratkhabar
yang dijadikan alas tempat duduk ataupun alas kasut dan selipar, tetapi ianya
merupakan Kalam Pencipta Yang Maha Agung. Kita hanyalah hambaNya yang dhaif
lagi hina. Jangan sampai hati kita semua terhijab dari melihat keagungan
Kalamullah yang mulia ini. Na’uzubillah!

Janji Allah Taala kepada mereka yang
sanggup bersama dengan al-Quran sangat besar. Cuma menunggu kita semua untuk
merebutnya. Inilah sebenarnya peluang keemasan untuk kita mendapatkan kedudukan
yang mulia di sisi Allah Taala. Al-Quran akan menjadi penyelamat kepada sesiapa
yang sudi untuk menjaganya di dunia. Tiada sesiapapun yang mempunyai jaminan
keselamatan ketika mengadap Allah di Hari Akhirat kelak. Alangkah indahnya
sekiranya di sana ada yang sudi menghulurkan tangan menyelamatkan kita dari sebarang
seksaan yang dahsyat sebagaimana yang dijanjikan olehNya.

Sabda Nabi
Sollallahu’alaihiwasallam;

“ Bacalah
al-Quran, sesungguhnya al-Quran akan menjadi pemberi syafaat kepada orang yang
bersamanya di dunia”

Terdapat banyak hadis yang menggalakkan
kita untuk terus istiqamah dengan al-Quran. Sekiranya diizinkan Allah saya akan
berkongsi sedikit sebanyak apa yang terkandung dalam kitab yang dipelajari.
Moga kita semua mampu mendapat manfaat darinya. Segala kekurangan dan kesilapan
saya memohon ampun dariNya dan kemaafan dari sahabat-sahabat semua. Semoga kita
semua menjadi golongan yang sentiasa bersama al-Quran.

“ Ya Allah
sampaikan kami kepada Ramadhan. Elokkanlah ibadah kami dan terimalah
amalan-amalan kami sepanjang Ramadhan…”

“ Wahai Tuhan,
rahmatilah kami dengan al-Quran. Dan jadikannya sebagai pemimpin, cahaya,
petunjuk serta rahmat bagi kami. Wahai Tuhan Engkau ingatkan kembali apa yang
telah kami lupakan darinya, dan ajarkanlah apa yang kami tidak tahu darinya.
Kurniakanlah kami kekuatan untuk membaca dan menghayatinya di waktu siang
mahupun malam. Dan jadikanlah al-Quran itu sebagai hujah untuk kami dan bukan
hujah ke atas kami, wahai Tuhan yang memberi rahmat”

Tiada ulasan: