Selasa, 13 Januari 2009

>NAMA ITU DOA!!!! BACALAH TERUTAMA KEPADA 'MAT REMPIT'

IMAM MALIK dalam kitab Muwatta' ada merakamkan satu perbualan antara Sayidina Umar dengan seorang lelaki. Siapa namamu? tanya Umar. Namaku Jamrah (bara). Bapamu? Tanya umar lagi. Syihab (anak api). Jawab lelaki itu sepatah. Kamu dari kaum mana? Aku dari kaum al-Harqah (kebakaran), jawab lelaki itu. Di manakah kamu tinggal? Lelaki itu menjawab, aku tinggal di Harratinnar (api yang membakar) iaitu di Zatilazha (nama neraka). Kemudian kata Umar, pulanglah segera ke kampungmu kerana kampungmu sedang terbakar! Sesungguhnya benarlah bahawa Islam itu suatu agama yang cukup sempurna hatta ilmu menamakan seseorang turut diajar dan tidak terlepas pandang. Pada perspektif Islam, nama bukanlah sekadar identifikasi diri agar kita dikenali dengan nama tersebut bahkan ia mempunyai hubungan yang sangat kuat dengan keperibadian luaran dan dalaman kita, sebagaimana cerita Sayidina Umar di atas.

Malah turut diceritakan dalam Sahih Bukhari bahawa seorang sahabat Nabi iaitu Ibnul Musaiyib sangat menyesal kerana tidak mendengar nasihat Nabi agar menukarkan namanya dari Hazan (dukacita) kepada Sahil (mudah). Hal demikian ini kerana sampai sekarang jiwanya sentiasa susah hati dan bersedih.

Justeru itu, Islam melarang menamakan anak atau menamakan diri sendiri dengan nama yang tidak mempunyai maksud yang baik apatah lagi yang tidak memberi citra peribadi kepada umat Islam. Islam melarang nama yang berunsur penyembahan selain Allah Taala seperti nama-nama berhala, nama-nama dewa. Nama tunggal bagi Allah atau nama-nama orang kafir, musyrik dan ahli maksiat juga tersenarai dalam nama-nama yang dilarang. Selain itu nama-nama yang mengandungi maksud yang mengada-ada, bombastik dengan niat bermegah-megah, takbur, taksub dan meninggikan diri daripada orang lain turut ditegah.

Sesungguhnya nama adalah doa. Seorang ibu yang memanggil nama anaknya dengan baik akan menjadi doa kepada anak tersebut. Andai namanya Muhammad (mulia), panggilan itu seolah-olah menjadi doa agar anak itu dimuliakan Tuhan dan memiliki keperibadian yang mulia pula. Maka kerana itu nama mempunyai kaitan rapat dengan keperibadian seseorang. Rasulullah SAW pernah bersabda mengingatkan kita: "Sesungguhnya sebaik-baik nama kamu adalah yang disandarkan dengan nama Allah, umpamanya Abdullah atau Muhammad." (Riwayat Muslim)

Andai nama anak-anak kita atau sahabat-sahabat kita Muhammad atau Ahmad, maka janganlah sewenang-wenangnya dipendekkan pula menjadi 'mat' kerana ia memberi konotasi yang tidak baik. Suatu ketika, nama 'mat rempit' pernah heboh dibahaskan orang. Ramai yang menganggap bahawa gelaran 'mat rempit' tidak layak dipanggil 'mat' yang kononnya merupakan singkatan kepada nama Muhammad. Maka berbagai-bagai nama dicadangkan. Ada pula yang mencadangkan agar digantikan sahaja dengan 'kodok rempit', asosiasi dari pepatah 'mati katak' kerana merempit di jalan raya.

Andai kita memaknakan nama sebagai doa, maka elok sahaja dikekalkan nama 'mat' kepada kumpulan berani mati itu. Hal demikian ini kerana 'mat' dalam bahasa Arab itu sendiri bermaksud mati. Nah, lagi ramai yang menyebut 'mat rempit', kita sebenarnya sudah 'mendoakan' agar cita-cita mereka untuk segera mati itu dikabulkan Tuhan!

Walau bagaimanapun, tiada larangan meletakkan nama yang bukan berasal dari bahasa Arab selagi tidak membawa makna yang buruk. Tiada salahnya nama Mawar atau Ros di mata Islam andai kecantikannya dan harumannya itu menjadi kebanggaan keluarga dan suaminya. Begitu jugalah tiada salahnya seorang saudara baru itu mahu mengekalkan namanya andai nama tersebut membawa makna yang baik dan menjadi motivasi kepada dirinya dan agama Islam. Berilah mereka kebebasan tanpa sebarang paksaan sesuai dengan ajaran Islam itu sendiri!

Tiada ulasan: