Isnin, 26 Januari 2009

Katakanlah, kita memiliki wang Lima Puluh ringgit. Tiba – tiba datang seseorang yang memohon pertolonggan dari kita. Terkesankah kita dengan kesusahannya, adakah kita menghulurkan bantuan pada yang memerlukan bantuan. Adakah kita akan menghulurkan separuh pada wang kita, iaitu Dua puluh Lima ringgit.???

Maka yang tinggal buat kita ialah bakinya dua puluh lima ringgit lagi.. Dengan itu, apakah wang kita akan bertambah atau berkurang?

Tentu sahaja jawapan kita ialah berkurang.. Jumlah wang kita telah susut dua puluh lima ringgit..
Itulah jawapan kita.. Tetapi bukan itu “ JAWAPAN “ Allah.
Bagi Allah, sekiranya hati kita ikhlas membantu, wang kita tidak akan berkurang, malah semakin bertambah. Perhatikan benar – benar maksud firman Allah ini:

“ Bandingan orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti biji benih yang menerbitkan tujuh tangkai, tiap – tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan ingatlah Allah akan melipat ganda kan pahala bagi sesiapa yang dikehendakinya.”

(Surah al – baqarah : 261)

Dilihat dengan pandangan biasa, memang wang kita akan menyusut, tetapi pada pandangan mata hati, wang kita sebenarnya bertambah. Bertambah bukan setakat sekali, dua kali atau tiga kali ganda, bahkan tujuh ratus kali ganda. Jika di nisbahkan secara matematik wang RM25 kita telah “bertambah” menjadi RM 17,500!

Rezeki yang Cukup vs Rezeki yang Tidak Cukup – Cukup!


Bagaimana boleh jadi begitu??? Dan yang lebih kritikal lagi apakah ia benar berlaku???
Rezeki yang “ bertambah “ tidak boleh dilihat dari segi jumlahnya sahaja. Tetapi harus dilihat dari pelbagai dimensi, secara holistic. Yang paling penting mari kita lihat dari segi keberkatannya..

Ya, dalam soal rezeki, bukan soal banyak atau sedikit sahaja yang harus dipertimbangkan, tetapi sama ada berkat atau tidak. Kalau rezeki sudah berkat, sedikitnya mencukupi, banyaknya boleh di agih – agihkan. Berbanding rezeki yang hilang berkat, sedikitnya tidak mencukupi banyak nya tidak puas.. Inilah penyebab berlakunya rasuah di kalangan orang atasan – bila si kaya harta, masih miskin jiwa akibat terhakis keberkatan rezekinya..

Kita yakin Allah adalah Al – Razzak ( Maha Pemberi Rezeki ) dan Al – Wahhab ( Maha Pemberi).
Apabila seseorang insan memberi kepada insan lain hanya kerana ingin mendapat keredhaan Allah, maka Allah akan “ menggantikan “ pemberiannya itu dengan sesuatu yang lebih baik , malah lebih banyak, mungkin tidak dari segi kuantitinya, tetapi boleh jadi kualitinya. Secara mudah, ini yang dimaksudkan dengan barakah ( sesuatu yang bertambah dan baik )..

Tepat sekali apa yang pernah diugkapkan oleh sayidina Ali :

“ Harta yang menjadi milik kamu yang sebenar ialah harta yang kamu belanjakan ke jalan Allah.”

Justeru, boleh dikatakan rezeki itu bukanlah sesuatu yang kita terima, sebaliknya apa yang kita berikan. Semakin kita berikan, rezeki ( boleh jadi dalam bentuk harta, ilmu ,masa , tenaga ) akan semakin “ bertambah “, apabila dibelanjakan di jalan Allah. Rezeki yang kita simpan, hakikatnya belum tentu kepunyaan kita. Mati itu datang dengan tiba – tiba. Sebaik kematian datang, rezeki kita sudah bertukar tangan, menjadi pusaka, warisan setelah difaraidkan!


Perhatikan betapa ada orang yang pendapatnya kecil sahaja, tetapi oleh kerana berkat, hidupnya terarah,
anak – anaknya yang baik, isterinya yang solehah dan kehidupannya tenang walaupun tidak kaya.

Ada pula si kaya yang menpunyai wangnya melimpah ruah namun “ kaya “ juga dengan masaalah. Isteri melawan cakap, anak – anak semakin liar, para pekerjanya semakin menipu, orang gajinya sering lari dan seribu satu lagi masaalah hidup. Dan anehnya kekadang duitnya dirasakan tidak pernah cukup – cukup..

Kalau kita diberi pilihan mana satu keinginan kita, antara rezeki yang cukup dengan rezeki yang tidak pernah cukup – cukup???
Tepuk dada Tanyalah iman

Tiada ulasan: