Rabu, 22 April 2009

"Keredhaan Allah Hanya Dengan Redha Mereka"

Kehidupan manusia sememangnya sentiasa berputar. Dari alam rahim, manusia dilahirkan ke dunia, dewasa dan akhirnya kembali semula menghadap pencipta sekalian alam..
Bak kata pepatah, pagi berkaki empat, tengah hari berkaki dua dan petang pula berkaki tiga. Waktu kecil kita merangkak sebelum berlatih untuk berjalan dan berlari meniti kehidupan di dunia yang fana ini. Setelah mencapai usia tua, kekuatan jugs turut terhakis dengan engsotan umur, lantas terpaksalah dibantu oleh tongkat untuk bergerak kesana sini. Itulah kehidupan bagi yang diberi peluang untuk meniti usia emas. Seiring dengan beredarnya waktu dan meningkatnya umur, daya ingatan juga semakin pudar dan kabur. Bagi mereka yang tidak bernasib baik, penyakit sering lupa akan datang bertandang. Tidak siapa pun yang inginkan keadaan sebegitu datang bertandang, namun takdir Ilahi siapalah yang mampu menghalang..
Namun begitu, ia merupakan penghapus dosa – dosa silam kita semua, cumanya ia menuntut agar kita semua sabar dalam menghadapi semua ini, dan mampu untuk bertahan dengan cubaan ini. Justeru, kita digalakkan agar sentisa berdoa agar kita dihindari oleh penyakit tersebut, kerana ia akan menyusahkan orang lain.
Apa yang penting disini peranan golongan muda khasnya anak – anak yang selama ini dijaga dan dibelai dengan penuh kasih sayang oleh kedua orang tua nya. Inilah masanya, peluang untuk kita membalas jasa insan yang selama ini bergadai nyawa, kudrat dan harta untuk membesarkan kita dari tapak kaki sebesar dua jari hingga kini kita mampu menyandang jawatan tertinggi di dalam sektor korporat atau apa jua jawatan. Usahlah kamu bersikap umpama kacang lupakan kulit, Berbaktilah kamu semua kepada ibu bapa kamu, sementara kita semua berkesempatan untuk berbuat begitu. Sesungguhnya syurga kita semua di bawah telapak kaki ibu. Redha Allah hanya mampu dimiliki dengan keredhaan mereka..

Tiada ulasan: